Variasi Menarik

Variasi Menarik

Saturday 28 July 2012

BANK TEMPATAN RUGI RM75 juta



KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebuah bank tempatan kerugian RM75 juta selepas diperdaya sekumpulan individu menggunakan taktik licik mencagarkan emas palsu melalui sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) di beberapa cawangan bank itu di seluruh negara, baru-baru ini.

Menurut sumber, kegiatan kumpulan itu hanya terbongkar selepas pihak bank mendapati kesemua emas yang dicagarkan adalah palsu ketika proses penilaian aset dibuat.

Tambahnya, kegiatan itu dipercayai melibatkan orang dalam sehingga menyebabkan pinjaman diluluskan serta pembayaran dibuat terhadap kumpulan tersebut.

"Berikutan itu, lima laporan polis telah dibuat dan satu siasatan kini dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Satu siasatan dalaman turut dilakukan oleh pihak bank bagi mengesan dalang yang terlibat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Difahamkan, beberapa individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kata sumber itu lagi, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan dalang terlibat dan dijangka membuat beberapa tangkapan tidak lama lagi.

Timbalan Pengarah JSJK Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Tajuddin Md. Isa ketika dihubungi mengesahkan kes itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Kejadian itu merupakan yang ketiga dalam tempoh hampir dua tahun melibatkan tiga buah bank.
Utusan Malaysia pada 17 Februari lalu mendedahkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang mendakwa mendapat projek penyelenggaraan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada 24 Oktober lalu pula, sebuah bank tempatan mengalami kerugian teruk sepanjang 26 tahun tempoh perniagaannya selepas ditipu sebanyak RM37 juta melalui sebuah komplot pinjaman sebuah syarikat, dua tahun sebelum itu.

No comments:

Post a Comment